ISI KANDUNGAN
Walaupun menjalankan tugas anda dengan sempurna adalah cara yang terbaik untuk menjadi pekerja contoh, namun ia tidak mencukupi. Selain melakukan kerja dengan baik dan tekun, terdapat juga ‘pekerjaan’ yang salah anda lakukan.
Anda mungkin menganggap bahawa ‘pekerjaan’ ini hanyalah kesalahan kecil namun ia memberi kesan yang besar terhadap reputasi kerjaya anda. Saya dedahkan perkara yang harus anda elakkan untuk membina kerjaya yang berjalan lancar.
#1-Bersetuju Sepanjang Masa
Belajar untuk berkata tidak. Sekadar bersetuju sahaja dengan apa yabg diutarakan menampakkan anda seperti tiada pendirian. Anda tidak digalakkan untuk sentiasa menyenangkan hati semua orang sahaja.
Walaupun ketua anda yang menyatakan sesuatu yang bercanggah dengan pendapat, belajar untuk berkata tidak secara profesional. Jadikan juga idea anda berkualiti untuk diketengahkan.
#2-Tidak Merangka Emel Dengan Kemas
Emel merupakan bentuk yang penting dalam komunikasi di antara pasukan kerja. Atas sebab itu, emel harus ditulis dengan teliti. Barangkali anda mengalami masalah untuk menyesuaikan nada tulisan anda dengan maklumat yang ingin disampaikan melalui emel.
Oleh itu, langkah yang berkesan adalah dengan meringkaskan namun padat untuk sebarang maklumat yang disampaikan. Ditegah untuk menggunakan sebarang emoticon dan sila semak dengan teliti sebelum menekan butang send.
#3-Terlalu Ingin Berdaya Saing
Anda mungkin merupakan pekerja yang paling berkarisma namun anda juga perlu belajar untuk bijak menilai pasukan anda.
Di tempat kerja, anda seharusnya menunjukkan kebolehan anda menangani sebarang masalah yang timbul. Perlu diingat bahawa tugas anda adalah lebih besar berbanding kerjaya yang sedang anda jalankan. Anda seharusnya bersama-sama denga pasukan anda untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
#4-Terlalu Selesa Dengan Skop Kerja
Gali sesuatu yang mencabar diri anda dan mampu berdikari atas segala cabaran tersebut.
Apabila anda terpilih untuk sesuatu jawatan, ketua pasukan anda pastinya memiliki jangkaan yang tinggi terhadap diri anda. Sekiranya anda terlalu lama bekerja di sesuatu tempat, pastinya anda merasakan keselesaan dalam kerjaya anda.
Namun, anda harus keluar dari zon selesa itu dengan lakukan sesuatu yang lain untuk memajukan syarikat anda walaupun dalam skop kerja yang sama.