Seni Rundingan Berpengaruh Gaya Trump

July 24, 2011 — Penulis:

Kategori: Umum

Urusan berbincang dan berunding adalah asam garam dalam perniagan. Dengan pengalaman lebih empat dekad Donald Trump masak dengan tawar-menawar, sepak-terajang dan putar-belit dunia rundingan bisnes.

Rundingan bisnes nampak sukar. Namun tanpa disedari kita terlibat dalam aktiviti berunding dan memujuk sejak kita keluar daripada kantung perut ibu.

Kata Trump, “Saya mula terlibat dalam aktiviti memujuk semenjak saya lahir. Kali pertama saya berasa lapar, saya berunding dan memujuk ibu saya dengan tangisan, sehingga dia menyelesaikan masalah saya dengan menyusukan saya. Perbuatan memujuk berlaku secara automatik.”

Sebelum menguasai seni memujuk, mari kita kaji matlamat kita memujuk terlebih dahulu. George Ross dalam bukunya, Trump-Style Negotiation: Powerful Strategies and Tactics for Mastering Every Deal menyebut tiga matlamat terpenting berunding:

  1. Membina kepercayaan. Semua perkara boleh dirundingkan apabila kita saling percaya-mempercayai antara satu sama lain.
  2. Mewujudkan rapport dan kemesraan. Rapport menjadi nadi bagi memastikan hubungan antara dua pihak yang berunding sehingga berjaya.
  3. Mencetus kepuasan hati. Tujuan berunding adalah supaya kedua-dua belah pihak mendapat sesuatu yang mereka inginkan.

Namun pada firasat penulis, syarat asas menjadi juru runding berpengaruh adalah kompetensi dan kebolehan diri. Justeru sebelum berunding, kemas kinikan resume atau senarai pengalaman peribadi kita. Tunjukkan hasil kerja terbaik. Hinggakan jika hasil kerja kita boleh berkata-kata, ia berbangga mengaku bahawa ia dihasilkan oleh seorang yang hebat.

Selain itu, kata George Ross, “Mewujudkan atmosfera yang membawa kepada perhubungan harmoni adalah lebih penting daripada memenangi hati seseorang, dalam keaadaan dia terpaksa memberikan kita sesuatu.”

Jadi bagi mencapai maksud itu Trump melakukan tiga perkara berikut sebelum sebarang aktiviti berunding dilakukan:

  • Mewujudkan persekitaran yang membawa kepada perhubungan lebih mesra.
  • Mengkaji dan memahami bagaimana orang itu berfikir berdasarkan latar belakangnya.
  • Menyenaraikan pilihan atau alternatif yang dijangka sesuai dengan matlamat orang itu.

Dalam berunding, Trump adalah orang yang boleh menerima kritikan. Katanya, “Saya menerima kritikan. Saya mendengar kritikan negatif, saya juga mendengar kata-kata positif. Namun apa sahaja kritikan negatif terhadap diri, bisnes atau pekerjaan, saya tidak mempedulikannya.”

Mendapat kritikan daripada orang yang tidak berapa senang dengan kita adalah lumrah kehidupan. Namun penulis melihat kritikan itu sebagai ‘teguran’ daripada Allah SWT. Allah mahu kita perbaiki kualiti produk dan perkhidmatan kita.

Selain itu, perkara penting yang boleh kita pelajari daripada Trump ialah bagaimana mengendalikan kritikan. Trump menyarankan kita supaya melontar mereka sebutir senyuman paling menawan, apabila dikritik. Doakan kebaikan kepada mereka yang mengkritik kita.

Ujar Trump melalui buku Why We Want You to Be Rich: Two Men, One Message, “Kita diciptakan bagi melakukan kesilapan. Namun kita boleh belajar daripada kesilapan.”

Jadi selepas ini elakkan menjadi juru runding yang biasa-biasa sahaja. Kita sebenarnya boleh menjadi jururuding yang luar biasa. Tip dan teknik yang Trump cadangkan di atas dapat menjadikan kita juru runding bisnes yang berpengaruh — sehebat Donald Trump. Bagi bacaan lanjut, dapatkan buku Pengaruh Gaya Trump (http://www.facebook.com/pengaruhtrump)

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (littleladylove)


Tags: , , , , ,

Pendapat anda?