Site Viewing – 5 Tip Tilik dan Belek

June 27, 2012 — Penulis:

Kategori: Hartanah

‘Site viewing’ atau sesi meninjau kawasan merupakan perkara wajib yang perlu dilakukan, sebelum pembelian rumah dimuktamadkan.

Hanya dengan tinjauan ini sahaja bakal meningkatkan kemungkinan. Sama ada wang yang dilaburkan bakal mendapat pulangan yang diharapkan atau pun tidak.

“Apa pula kaitan meninjau kawasan dan pulangan?”

Pasti itu yang anda persoalkan ketika ini.

Selamatkan Wang Pelaburan

Ya, hanya melalui tinjauan ini anda dapat melihat keadaan rumah yang bakal anda beli. Jika rumah baru menjadi pilihan, pasti jenis bahan bina dan aksesorinya mampu mengungkapkan kualiti yang bakal terhasil.

tip-telek-dan-belek

Jika kualiti yang terhasil menampakkan kemewahan, sudah pasti nilai rumah tersebut akan melonjak naik sebaik sahaja ia siap dibina.

Itu kisah rumah baru.

Bagaimana pula dengan rumah subsale?

Adakah pulangan turut mampu ditebak hasil dari tinjauan yang dilakukan?

Jawapannya, ya.

Mudah sahaja untuk anda fahami. Sebarang kerosakan semasa sesi tinjauan ini pastinya akan membuka ruang kepada anda, untuk meminta pengurangan dari segi harga.

5 Tip Site Viewing Cara Profesional

Lagi banyak kerosakan yang dapat anda lihat, lagi besar peluang anda untuk membeli rumah tersebut pada harga diskaun.

“Apa pula yang perlu saya lihat semasa sesi ‘site viewing’ ini?”

Jawapannya hanyalah pada perkara-perkara berikut :

#1 – Pendawaian Elektrik

Pastikan semasa anda memasuki rumah tersebut, semua suis dibuka dan lihat sama ada semua lampu, kipas dan semua perkakasan elektrik berfungsi dengan baik.

#2 – Sistem Saliran Air

Buka setiap paip air dan lihat sekiranya terdapat kebocoran, atau pun paip air yang tersumbat dari setiap paip yang dibuka.

#3 – Sistem Pembentungan

Sebagaimana peralatan elektrik dan paip air, sistem pembentungan juga dapat diperiksa. Dengan hanya mengepam tandas tersebut sebelum melihat sama ada ‘bendasing’ yang kita letak (seperti tisu) dapat disedut dengan sempurna.

#4 – Keadaan Luar dan Dalam

Periksa setiap binaan di dalam dan luar rumah seperti keretakan dinding, kusaman warna cat dinding dan sebagainya, selain kebersihan dan kekemasan di dalam dan di luar yang turut perlu diberi perhatian agar tiada kos pembersihan perlu dikeluarkan nanti.

#5 – Kehadiran Entiti Mistik

Bawa rakan anda yang mempunyai ilmu dan pengetahuan berkaitan entiti mistik ini.  Kerana kehadiran entiti ini bakal mengundang masalah kepada anda sebagai tuan punya rumah.

Nah, baik rumah baru mahu pun yang lama kesemua perkara di atas perlulah diberi perhatian agar apa yang ditilik mahu pun dibelek mampu memberikan keuntungan kepada anda di kemudian hari.

Kredit: Philipines Town House, Geopolicraticus, Telegraph.


Tags: , , , , , ,

Komen (1)

  1. Wow. bagus untuk membeli rumah nnti. Bagus sekali tips terakhir: entiti Mistik. Kita pun tak tahu apa yang ada dalam rumah itu secara rohaninya, kan?

Pendapat anda?