Strategi eBay – Jual Murah, Lambat Kaya

February 06, 2012 — Penulis:

Kategori: Online

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca Majalah Niaga yang saya hormati sekalian.

Azam Baru

Kini kita sudah pun tiba di bulan Februari dalam tahun 2012. Ini bermaksud yang kini hanya tinggal 11 bulan saja di dalam tahun ini, untuk anda capai segala azam yang telah anda tetapkan di awal tahun.

Oleh itu, jangan berlengah lagi. Teruskan usaha anda untuk menuju kejayaan untuk tahun 2012 ini!

Di dalam artikel pada bulan ini, saya ingin berkongsi dengan anda tentang strategi harga barang jualan di portal eBay.

Lebih Banyak Kita Jual, Lebih Tinggi Keuntungan?

Ramai yang berpendapat bahawa untuk berjaya di portal eBay, kita cuma perlu menjual barang. Lebih banyak barangan yang berjaya kita jual, maka akan lebih banyaklah keuntungan yang akan kita perolehi.

Jualan Banyak Produk Tinggi Keuntungan

Memang ada kebenaran di dalam pendapat tersebut. Namun demikian, saya ingin mengupas dengan lebih lanjut mengenai strategi harga jualan, yang boleh mempengaruhi kejayaan anda sebagai seorang penjual di portal eBay.

Tanpa mengira sama ada anda menjual barangan dalam kuantiti yang banyak atau pun sedikit.

Secara asasnya, terdapat 2 strategi harga barang jualan di portal eBay. Pertama, menjual barangan yang berharga murah dan yang kedua, menjual barangan yang berharga mahal.

Kedua-dua strategi ini memerlukan fokus dan penekanan yang berbeza untuk berjaya.

Mari kita lihat kedua-dua strategi ini dengan lebih terperinci.

Menjual Produk Harga Murah

Seperti apa yang tertera pada tajuk strategi ini, anda sebagai seorang penjual di portal eBay akan bertindak menjual barangan yang berharga murah.

Jualan Murah

Barangan berharga murah ini boleh terdiri daripada barangan yang berharga dalam nilai matawang USD di antara $1 sehingga $99.

Selalunya jumlah keuntungan yang boleh anda perolehi daripada setiap penjualan barangan yang berharga murah adalah kecil. Oleh kerana itu, anda perlu menjual barang berharga murah tersebut dengan kuantiti yang banyak, untuk mendapat keuntungan yang lebih besar.

Ini adalah kerana, jumlah keuntungan yang boleh anda perolehi akan bergantung kepada kuantiti barang tersebut yang berjaya anda jual.

Memandangkan keuntungan secara individu untuk barang murah adalah kecil, maka fokus anda perlu ke arah menjual dalam kuantiti yang besar untuk mendapat keuntungan yang lumayan.

Jika anda cuma berjaya menjual barang dalam kuantiti yang sedikit, maka jumlah keuntungan yang boleh anda perolehi juga adalah sedikit.

Pada kebiasaannya, pembeli di portal eBay akan lebih bersedia untuk membeli barangan yang berharga murah, berbanding barangan yang berharga mahal kerana ianya kurang berisiko.

Oleh itu, jika strategi promosi anda baik, maka tiada masalah untuk anda menjana pendapatan yang lumayan daripada penjualan barangan yang berharga murah.

Menjual Produk Harga Mahal

Strategi ini pula akan melibatkan mereka yang menjual barangan dengan harga yang mahal. Harga barangan mahal yang saya maksudkan di sini adalah, barangan berharga dalam nilai matawang USD sebanyak $100 ke atas.

Nilai Dollar

Pada kebiasaannya, barangan mahal akan kurang pembeli berbanding barangan yang murah. Perkara ini adalah disebabkan faktor risiko tadi.

Tidak ramai orang yang akan bersedia untuk membeli barangan yang berharga mahal di portal eBay kerana masih risau akan ditipu. Mereka akan lebih bersedia membeli barangan mahal daripada penjual eBay, yang sudah memiliki feedback yang banyak dan sudah mendapat banyak komen yang baik daripada pembeli lain.

Oleh kerana itu, jika anda merupakan seorang penjual di portal eBay yang menjual barangan yang mahal, maka anda perlu berusaha untuk meningkatkan feedback anda terlebih dahulu.

Lebih tinggi feedback positif yang anda miliki dan lebih banyak komen baik yang diberikan oleh pembeli kepada anda, maka akan lebih yakinlah pembeli lain untuk membeli barangan mahal daripada anda.

Strategi Jual Murah Menjadi Mahal

Sekiranya anda masih baru di portal eBay dan belum memiliki feedback dan komen yang banyak, saya syorkan anda bermula dengan menjual barangan yang berharga murah terlebih dahulu untuk membina feedback dan komen positif.

eBay - Feedback dan Komen Positif

Setelah anda berjaya mencapai feedback melebihi 100 dan sudah mendapat 20 sehingga 30 komen positif, barulah saya galakkan anda mula menjual barangan yang mahal.

Namun demikian, anda perlu bersedia kerana di dalam menjual barangan yang berharga mahal biasanya jumlah pembelian adalah sedikit.

Oleh itu, jika anda biasa mendapat 10 sehingga 50 pembelian dalam satu minggu untuk barangan yang berharga murah, untuk barangan yang berharga mahal pula anda mungkin cuma berjaya menjual 1 ke 2 barang saja pada setiap minggu.

Kerana penurunan jumlah pembeli yang boleh membeli pada harga mahal tersebut.

Margin keuntungan untuk barangan yang berharga mahal selalunya lebih tinggi daripada barangan yang berharga murah.

Oleh itu, walaupun anda cuma berjaya menjual 1 sehingga 2 barangan mahal pada setiap minggu, berkemungkinan jumlah keuntungan yang anda perolehi masih sama atau lebih banyak daripada barangan yang berharga murah tadi.

Dengan ini, anda tidak perlu risau walaupun tidak banyak barangan mahal anda yang berjaya dijual. Apa yang penting anda tahu tentang margin keuntungan anda dan apa sasaran keuntungan yang ingin anda capai.

Bagaimana Menjual Barangan Mahal Di eBay?

Strategi terbaik untuk menjana keuntungan yang lebih banyak dengan menjual barangan yang berharga mahal adalah dengan menjual barangan mahal yang popular. Sekiranya barangan tersebut popular, maka jumlah pembeli akan lebih ramai dan anda boleh mendapat pembelian yang lebih banyak.

Selain itu, sama seperti strategi barangan murah, anda juga perlu meningkatkan promosi untuk mendapatkan pengunjung yang lebih ramai ke barang jualan anda di portal eBay.

Penjual eBay yang bijak akan sentiasa mengambil berat tentang margin keuntungan di dalam perniagaannya dan akan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih hebat. Oleh itu, teruskanlah usaha anda untuk berjaya di portal eBay.

Salam hormat dan salam kejayaan!

Kredit: Neil Kremer, b_wong01, berties world, money pictures


Tags: , , , , , ,

Komen (2)

Leave a Reply to ahmadyani Batal (Cancel)