Teori Usahawan Berjaya: Tahap Penerimaan vs
Tahap Harapan

July 22, 2013 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Jack Welch, CEO lagenda syarikat gergasi General Electric (GE) tidak sanggup untuk melihat mana-mana anak syarikatnya berada di kedudukan nombor dua dalam pasaran. Inilah antara sebab utama mengapa GE merupakan syarikat nombor satu selama ini.

Semua orang di dalam dunia ini mempunyai impian dalam hidup. Jika kita bertanya berapa ramaikah yang mahu menjadi jutawan kepada peserta program keusahawanan, sudah tentu hampir kesemuanya akan mengangkat tangan. Ini kerana jika ada peluang untuk merasai kehidupan sebagai jutawan, tiada seorang pun menolaknya.

Mereka yang tidak berminat untuk menjadi jutawan adalah mereka yang sering berasa rendah diri serta tidak mempunyai bakat dalam keusahawanan. Seandainya mereka ini turut diberikan peluang untuk mencapai tahap jutawan, pasti mereka akan memilihnya!

  • Ramai yang mengimpikan untuk tinggal di banglo mewah, belayar di lautan Carribean dan memandu kereta mewah model terkini. Tetapi pada akhirnya berapa ramaikah yang benar-benar berjaya mencapai impian tersebut?

  • Mengapa ramai daripada kita apabila mempunyai sesuatu impian, impian tersebut berkubur sebegitu sahaja dan mengapa pula hanya segelintir sahaja yang berjaya untuk menukarkan impian mereka menjadi suatu kenyataan?

Setelah pakar-pakar dalam bidang sains minda meneliti dengan lebih mendalam mengenai perkara ini, mereka telah menemukan jawapannya. Ia sebenarnya berpunca daripada dalam diri kita yang mempunyai ‘Tahap Harapan’ dan ‘Tahap Penerimaan’ dalam minda bawah sedar kita.

 

‘Tahap Harapan’ vs ‘Tahap Penerimaan’

Katakanlah anda mempunyai impian untuk mencapai pendapatan RM10,000 sebulan, dan ia merupakan ‘Tahap Harapan’ anda. Tetapi sebenarnya anda lebih sanggup hidup dengan pendapatan RM3,000 yang mana ia adalah merupakan ‘Tahap Penerimaan’ anda.

Jadi walaupun anda mempunyai impian yang besar, anda pasrah dengan pendapatan yang anda terima. Apabila mendengar orang yang menerima pendapatan RM10,000, anda dengan pasrah berbisik dalam hati “Ala, dah rezeki dia”. Perkara yang anda inginkan adalah ‘Tahap Harapan’ dan apa yang sanggup anda terima adalah ‘Tahap Penerimaan’.

Di antara kedua-dua tahap tersebut, yang mana satu lebih mudah kita capai?

Jelas sekali bahawa ianya ialah ‘Tahap Penerimaan’. Pada awalnya anda mungkin menetapkan matlamat untuk memperolehi RM10 ribu sebulan sebaliknya dalam masa yang sama anda sanggup untuk menerima RM3,000 sebulan. Pada akhirnya jumlah yang anda terima hanyalah sebanyak RM3,000 sebulan.

Secara umumnya, standard yang kita tetapkan dalam hidup ini banyak dipengaruhi oleh ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling. Kajian menunjukkan bahawa seseorang biasanya menerima pendapatan kira-kira 10 peratus lebih atau 10 peratus kurang daripada orang yang berada di sekeliling mereka.

disebalik-hantaran

Dari perspektif lain pula kita ambil tentang isu hantaran kahwin yang juga banyak dipengaruhi oleh standard sekeliling. Di negeri-negeri pantai Barat Malaysia, hantaran kahwin berjumlah lebih kurang RM10,000 adalah standard, hatta untuk seorang gadis yang berkelulusan SPM.

Seorang teman yang saya kenali berasal dari Selangor berkahwin dengan seorang gadis dengan hantaran RM6,000 telah dicemuh oleh keluarga beliau sendiri. Menurut keluarga beliau hantaran beliau terlalu rendah dan mereka malu jika dikatakan tidak berwang. Di kawasan gadis tersebut, nilai hantaran sebegitu adalah biasa.

Persoalannya ialah bagaimana kita ingin mengubah ‘Tahap Penerimaan’ kita?

Berdasarkan contoh-contoh di atas anda sudah pun memperolehi jawapannya. Anda hanya perlu mengubah persekitaran, rakan dan komuniti kita. Untuk berpindah rumah mungkin satu tindakan yang agak sukar. Apa yang lebih praktikal adalah ubah persekitaran sosial anda iaitu dengan siapa anda bergaul.

Saya berikan satu contoh lagi berkaitan diri saya sendiri. Bukanlah niat bercerita ini untuk mendabik dada kerana ramai yang lebih hebat, tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman.

Saya baru lebih kurang setahun sebagai trainer sepenuh masa selepas meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan sebelumnya sebagai guru. Walaupun baru setahun jagung, saya sudah muncul di majalah, mendapat tawaran muncul di radio dan televisyen, jemputan daripada organisasi besar seperti Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.

Kalau diikutkan standard bidang ini, apa yang saya capai biasanya hanya boleh dicapai oleh trainer lain yang berkecimpung sekurang-kurangnya 5-6 tahun. Strategi pencapaian saya adalah kerana saya bergaul dengan trainer yang secara purata berada dalam bidang ini selama 10 tahun. Saya banyak bertanya, belajar dan meniru cara mereka.

 

(Sumber gambar: Kayb_82)


Tags: , , , , , , ,

Komen (5)

  1. pemikiran orang lain mungkin susah nak diubah, cara pemikiran kita mungkin.. selepas membaca buku azizi ali, robert kiyosaki, stephen covey, cara pemikiran saya banyak berubah 🙂

  2. Benar, tuan Hilmi. Semua ini ada dalam minda kita tanpa kita sedari.

    Apa yang kita fikirkan itulah yang akan terjadi, seperti mana yang kita ketahui dan pelajari.

    Apabila kita berfikir positif, maka positiflah jadinya.

    Inilah kekuatan minda yang kita terlepas pandang.

    Terima kasih atas perkongsian.

  3. Idea dan info yang sangat berguna. SoHo yang selesa memang sangat penting bagi sesiapa sahaja yang bekerja sepenuh masa dari rumah.

    Putih memang warna pilihan. Cantik, bersih dan kemas.

  4. Tuan,

    Saya bersetuju dgn artikel tuan. Tidak dapat dinafikan persekitaran antara faktor menentukan siapa kita. Persekitaran ini sgt luas konteksnya; tidak hanya tertumpu kepada rakan dan komuniti sahaja malah apa yang kita baca, apa yang kita lihat dan apa apa yang dengar juga merupakan sebahagian daripada persekitaran sebenarnya. Mohon pandangan tuan….

Pendapat anda?