Tip Berkesan Urus Gaji Dengan Bijak

May 06, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan

Hampir di serata lokasi, iklan pemberi pinjaman bersepah baik pada batang pohon, dinding bangunan atau papan tanda. Meriah dan makmur sungguh perniagaan jenis ini. Keghairahan pengiklan itu, yang rata-rata berstatus iklan haram, sudah tentu ada sambutan baik.

pinjaman, ceti haram, ah long,

Biarpun baik bagi mereka, ia tidak sihat bagi masyarakat. Masyarakat yang dibelenggu hutang yang serius akan mengundang banyak kudis sosial – tekanan hidup, ketidakstabilan keluarga, himpitan ekonomi, gangguan persekitaran, cetusan jenayah dan sebagainya.

Mengapa ia terjadi? Salah satu daripadanya berkait dengan kegagalan individu menguruskan gaji atau pendapatan. Biarpun urus gaji nampak mudah, namun ramai di luar sana yang kesempitan menjelang hujan bulan. Anda bagaimana? Artikel ini memberi tips mudah untuk diikuti dengan lima langkah: niat, rancang, laksana, disiplin, dan ukur.

  • Niat – Mulakan dengan niat yang bersungguh. Anda sebutlah apa sahaja istilah – azam, harapan, sasaran, halatuju dan sebagainya.

Namun hal yang penting – semua ini menjadi tujuan anda mengurus gaji dan tujuan itu pula menjadi matlamat penyudah.

Pasang niat ke arah penambahbaikan – contoh menambahkan pendapatan, simpanan dan zakat atau mengurangkan perbelanjaan, pembaziran atau ketirisan. Tanpa niat kukuh, semua hal lain hanya ibarat mimpi di siang hari!

  • Rancang – Sudah ada niat, maka perlu merancang untuk melaksana. Jangan sesekali fikir perancangan hanya untuk perkara besar, macam kata pasar – perkara juta-juta! Tidak kira gaji besar atau kecil, anda mesti ada perancangan.

Jika gaji kecil, rancanglah untuk gaji kecil. Jika gaji besar, rancanglah untuk gaji besar. Perancangan yang dibuat pula tidak perlu kompleks atau kelihatan gah. Yang penting, buat rancangan yang mampu diikuti. Maka jujur pada diri itu penting kerana anda merancang untuk diri sendiri.

  • Laksana – Bila niat sudah kukuh dan perancangan pun sudah cantik, maka seterusnya masa untuk dilaksanakan. Kalau sudah merancang mahu kurangkan perbelanjaan dan ia melibatkan perubahan gaya hidup – maka laksanakan perubahan itu.

Contoh – jika sudah merancang untuk mengurangkan perbelanjaan berkaitan aktiviti masa senggang, maka laksanakan ia sama ada dengan hentikan atau kurangkan aktiviti lama dan cari alternatif aktiviti baru yang lebih menjimatkan.

  • Disiplin – Bab ini banyak individu yang gagal. Ramai yang ada niat dan berjaya memulakan perubahan, tapi tak ramai yang mampu istiqamah. Memang banyak cabaran dan godaan untuk berubah ke arah lebih baik.

menyimpan, disiplin menabung, kewangan,

Orang lain boleh memberi pendapat, sokongan dan cadangan, namun segalanya terletak pada diri sendiri. Jika anda jenis individu yang tidak berdisiplin, maka susah untuk anda melakukan perubahan.

Idea ini mungkin membantu – pilih untuk berubah sedikit demi sedikit tapi berterusan tanpa perlu berubah 360 darjah dalam masa 24jam!

  • Ukur – Akhir sekali, ukurlah pencapaian usaha transformasi anda. Jika anda dapati, ada perubahan positif, maka sudah tentu ia menjadi khabar mengembirakan untuk anda.

Hasil yang baik itu akan meningkatkan semangat anda untuk terus kedepan – pengurusan perbelanjaan gaji adalah komitmen berterusan selagi anda menerima gaji!

Tindakan mengukur ini perlu mengambil kira – tempoh dan petunjuk. Jika tempoh masa mengukur hasil terlalu singkat, hasil mungkin tidak ketara dan anda mungkin kecewa dengannya.

Tempoh satu bulan agak sukar untuk melihat perubahan, maka boleh gunakan suku tahunan, separuh tahunan atau tahunan. Jika petunjuk tidak jelas, anda tidak tahu apa yang hendak diukur maka anda akan kehilangan arah. Tetapkan petunjuk dalam ukuran kuantitatif seperti tambahan simpanan sebanyak 5%.


Tags: , ,

Komen (2)

  1. ye betul, nak urus gaji memang kena disiplin & keazaman yang tinggi.

    apa yang saya lakukan, setiap bulan senaraikan apa yang perlu dibayar (bil, insurans & simpanan). ketepikan siap-siap. jumlah baki tu baru rancang nak buat apa. itupun kena plan betul-betul. rekod setiap transaksi. nanti baru nampak kemana duit pergi.

    1. Kena bagi ganjaran untuk diri sendiri terlebih dahulu. Simpan sekurang-kurangnya 10% gaji pada hari mendapat gaji, selebihnya baru belanja.

Leave a Reply to Khairul Batal (Cancel)