Tip Kewangan Peribadi – Suburkan Diri Mu

May 16, 2012 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Syukur Alhamdulillah, berjumpa lagi kita di kolum ini. Terima kasih kerana berkongsi masa membina diri bersama Majalah Niaga, majalah dalam talian pilihan utama anda.

Jika saya mulakan dengan bertanyakan satu soalan, boleh bukan? Apakah lawan bagi perkataan tumbuh? Ya, tepat. mati.

Jika sesuatu tidak tumbuh, ia mati. Mari kita teruskan perkongsian kita kali ini dengan memilih untuk terus tumbuh subur dan memberi manfaat kepada sekalian alam.

Kita telah kongsikan betapa pentingnya simpanan 20% di artikel sebelum ini. 10% untuk Dana Kebebasan Kewangan dan 10% lagi untuk Dana Hajat.

Urus Wang Dengan Dana Ilmu

Kemudian saya huraikan menerusi beberapa tulisan susulan mengenai kepentingannya. Kali ini mari kita sambung dengan cadangan peratusan seterusnya. Bersiap semua, jom!

Saya usulkan tuan-puan sidang pembaca, secepat mungkin wujudkan satu lagi dana dalam urusan kewangan peribadi tuan-puan.

Mari kita namakannya Dana Ilmu.

Dicadangkan ia merangkumi 10% dari pendapatan tuan-puan. Jika pendapatan tuan-puan ialah RM3,000 sebulan, maka peruntukkanlah RM300 untuk Dana Ilmu.

Jika pendapatan tahunan tuan-puan ialah RM50,000 setahun, peruntukkanlah RM5,000 darinya untuk Dana Ilmu. Mudah difahami bukan?

Baja Cerdik

Suburkan Dirimu-1

Ibarat pokok yang tumbuh subur, ia mendapat baja yang cukup selain sumber asasinya cahaya, air dan mineral. Jika tidak, ianya bukan sahaja tidak subur, ia kurang memberi manfaat. Malah jika tidak tumbuh dengan baik, ia akan mati.

Begitu juga manusia, selain mendapat sumber asasi hidup, ia perlukan ‘baja’ untuk subur. Inilah analoginya. Kecerdikan kewangan bernisbah terus dengan maklumat yang tuan-puan perolehi.

Dana Ilmu adalah cara merealisasikannya; sebagai baja, pengetahuan adalah kuasa.

Ke mana patut saya salurkan wang daripada dana ini? Jawapannya ialah salurkan kepada apa sahaja yang dapat menambah nilai diri tuan-puan. Jika masih tiada idea, mari kita beri beberapa contoh.

Katakan Dana Ilmu tuan-puan telah ditetapkan sebanyak RM300 sebulan (untuk pendapatan RM3,000 sebulan). Tuan-puan ambil inisiatif untuk membeli buku bina diri di toko buku berhampiran. Tuan-puan boleh pilih dari lautan tajuk yang ada di sana.

Tuan-puan mahu tahu tentang pelaburan hartanah, emas, silakan pilih. Tuan-puan mahu tentang masakan, silakan pilih. Alhamdulillah syukur, negara kita dikurniakan ramai penulis hebat yang mampu memberi faham dan menggerak motivasi diri.

Tepuk Dada, Tanya Selera

Selain memilih buku atau majalah bina diri, tuan-puan silakan pilih genre agama, fiksyen motivasi, hobi, buat-sendiri (DIY), resipi, sukan dan lain-lain. Jika tuan-puan mempunyai rutin yang ketat, apa kata beli sahaja dari toko buku dalam talian.

Terdapat banyak juga e-book bina diri di pasaran hari ini. Tepuk dada, tanyalah selera. Malah ada banyak pula yang percuma. Atau tuan-puan langgan sahaja majalah bina diri kegemaran tuan-puan.

Ia akan dihantar ke rumah tuan-puan setiap bulan. Mudah bukan? Membaca bukan lagi untuk lulus periksa, ini untuk suburkan diri mu. Jika membaca yang menjadi halangan, dapatkanlah pula CD dan DVD bina diri.

Meriahkan Majlis Ilmu

seminar

Selain buku dan majalah, mari kita cadangkan tuan-puan gunakan dana RM300 tersebut bagi menghadiri seminar-seminar, bengkel-bengkel, konferen-konferen, majlis-majlis ‘networking’, kuliah-kuliah, kelas-kelas dan usrah-usrah bina diri yang banyak terdapat hari ini.

Ia benar-benar baja mujarab bagi membina diri dan melatih kecerdikan kewangan peribadi tuan-puan. Alhamdulillah sekali lagi syukur, negara kita belum lagi ketandusan fasilitator pembelajaran yang mampu memberi faham dan menggerak motivasi diri.

Kata guru kewangan terkenal, Robert T. Kiyosaki pelaburan yang paling baik ialah pelaburan dalam masa dan ilmu. Dalam ajaran Islam pula, membaca dan menghadiri majlis ilmu (menuntut ilmu) adalah sangat dituntut malah diwajibkan.

Malah ayat al-Quran yang pertama diturunkan Allah sendiri berbunyi, “Bacalah.”. Lagi pula, tuan-puan dapat pelepasan cukai pendapatan untuk tujuan ini. 10% yang menarik bukan?

Rahsia Jaya

Sebenarnya inilah rahsia mereka yang berjaya di sekitar kita hari ini. Mereka terus subur setiap hari. Mereka tidak jemu belajar. Mereka tidak serik berguru. Mereka tidak malu diasuh. Mereka minta ditegur. Mereka tidak lokek dan berkira dengan ilmu dan guru.

Manakala mereka yang gagal rata-ratanya jahil dan tidak menghormati ilmu. Noktah.

InsyaAllah, di keluaran akan datang, saya akan sambung lagi perkongsian kita dengan berkongsi bagaimana Dana Ilmu ini mempunyai kuasa gandaan (leverage), dan bagaimana ia dapat merawat ‘sakit-sakit’ kronik yang menghalang dan melambatkan proses bina diri.

Sehingga waktu itu, tekadlah tuan-puan. Mulakan hari ini juga. Wujudkan Dana Ilmu mu. Suburkanlah diri mu. Kerana diri mu amatlah berharga.

Pagi hari, keluar nelayan,
Bawa bakul mengisi bekal;
Baiki diri, bina kejayaan,
Syaratnya ilmu, iman dan amal.

Kredit: (IRRI Images,Sustainable sanitation,US Army Africa).


Tags: , , , , ,

Komen (8)

  1. Wah.Ini first time saya dengar Dana Ilmu ni dan siap bagi terperinci berapa nak kena labur.Selalunya untuk ilmu ni susah sikit kita nak labur.Kena tingkan ilmu diri dengan lebih baik seterusnya.hehehe

  2. Dana Ilmu? Pertama kali saya dengar istilah ini. Walaupun sebenarnya sudah lama saya mengamalkannya tetapi saya sendiri tak sedar ianya dipanggil Dana Ilmu.

    Melabur untuk diri sendiri ialah pelaburan yang terbaik. Kalau anda tak tahu di mana mahu melabur, maka melaburlah kepada diri sendiri. Itu kata Azizi Ali, mentor kewangan nombor satu di Malaysia.

  3. Dana ilmu umpama darah yang mengalir dalam tubuh dan mengutamakan ilmu adalah teras kelangsungan hidup yang bermatlamatkan kejayaan dunia dan akhirat.
    Budaya membaca sewajarnya diamalkan dan dengan adanya Dana Ilmu kita boleh memperuntukan sumber mendapatkan bahan bacaan untuk diri sendiri atau membeli buku untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga atau sahabat handai dengan berniatkan sedekah ilmu.
    InsyaAllah usaha mempromosi Dana Ilmu boleh digandingkan dengan program Jelajah Buku @ Bank Buku Perpustakaan Negara.

  4. abu bakar bin hussin
    September 29, 2012

    dana ilmu sesuatu yang perlu diketahwi oleh umum,lebih-lebih lagi golongan peniaga kecil atau besar kerana ia akan menberi manafaat yang lebih besar di masa kini dan masa hadapan.pastikan yang terbaik menuju wawasan,dr azizan osman yang terbaik..terima kasih dr kerana melancarkan program ini. u the best friend.

  5. Ustaz Zhof
    June 16, 2014

    Bila di sekolah dahulu banyaklah program motivasi dan bengkel menuju kejayaan sama ada ketika UPSR, PMR dan SPM. Tapi apabila dah memasuki alam pekerjaan, program sebegini dipandang sepi dek kerana sibuk uruskan hal keluarga, pejabat dan organisasi. Jadi, amat tepat sekali DANA ILMU diwujudkan untuk membina fizikal, intelektual, emosi dan spritual yang A +..

Leave a Reply to Sallehuddin haji Ibrahim Batal (Cancel)