Tip Untuk Orang Muda: Apakah Pelaburan Terbaik Di Awal Kerjaya?

January 19, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Kewangan / Pengurusan Kewangan

Diberitakan bahawa siswazah yang baru mendapat pekerjaan, secara purata akan ditawarkan gaji bulanan sebanyak RM2,500. Kajian pula mendapati bahawa 77% daripada mereka memberitahu, tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk membuat simpanan kerana terpaksa menampung perbelanjaan keperluan.

Lazimnya apabila sudah merasa susahnya mencari duit, maka peluang pelaburan yang dicari-cari adalah apa sahaja yang menatijahkan kepada tidak perlu lagi berkerja di hari kemudian, dan yang dianggap paling penting ialah setiap bulan mendapat keuntungan atau duit komisyen.

“Guna otak! Kita tak akan jumpa lagi peluang (skim) yang mampu beri pulangan seperti ini dalam masa 200 tahun!” nada ejen pelaburan memujuk.

Maka tidak hairanlah ramai anak muda yang terperangkap dengan definisi ringkas dalam melihat pelaburan dari aspek bentuk pulangan monetari semata. Inginkan hanya sesuatu yang mudah, namun memberi pulangan yang besar!

Commitment

Hal ini berlaku apabila pelaburan difahami sebagai komitmen melaburkan duit atau modal untuk membeli instrumen kewangan atau aset lain demi memperolehi keuntungan berbentuk pulangan atau kenaikan dalam nilai instrumen.

Contohnya, pelaburan dalam amanah saham, ASB, AHB, dalam bentuk pembelian bon atau sukuk runcit (bon islamik), Forex (tukaran mata wang asing), REITs (Amanah Pelaburan Harta Tanah), ETF(Dana Dagangan Bursa), pembelian emas fizikal atau akaun emas dan banyak lagi. Tetapi lebih menjahanamkan apabila ramai anak muda yang terjerat dalam skim pelaburan ponzi yang meragukan.

Di awal kerjaya, ketika pelabur muda mempunyai lebihan modal untuk dilaburkan, beberapa bentuk pelaburan yang disebutkan di atas, adalah antara produk yang boleh difikirkan (kecuali skim pelaburan ponzi). Namun kesilapan utama para pelabur muda di awal kerjaya, adalah apabila terlalu memikirkan pulangan dan keuntungan.

Profit word

Hakikatnya, jika ditanya apakah “pelaburan terbaik” di awal kerjaya, jawabnya ialah “laburlah” ke dalam polisi Takaful. Sekurang-kurangnya ia memberi jaminan perlindungan, di samping wujud aspek simpanan dan pelaburan walaupun (hanya) sebagai sampingan.

Dalam pelaburan lain, para pelabur boleh “dijanjikan” peratusan pulangan sehingga dua angka! 10%, 20%, 30% dan sebagainya. Tetapi apabila (mungkin) para pelabur muda itu ditimpa musibah, dalam bentuk didapati berpenyakit atau kemalangan. Dan tanpa perlindungan Takaful, nilai pulangan dua angka itu tidak langsung bermakna!

Atas sebab itu, ketika ejen pelaburan lain mengajak berfikir tentang keuntungan berlipat, ejen Takaful pula mengajak supaya hidup ini mesti beringat.

Pelaburan & Pengurusan Risiko

Aspek pengurusan risiko dari perspektif Islam bukanlah bermakna seseorang individu itu mampu mengawal situasi dan mampu mengelak musibah tersebut, tetapi risiko yang dihadapi itu boleh dikurangkan dan kesan yang ditanggung selepas berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

Maka sekurang-kurangnya dengan adanya polisi Takaful, seseorang individu mempunyai pilihan untuk melaksanakan pengurusan risiko apabila beliau telah berusaha mengurangkan kesan dari musibah yang dihadapi.

Polisi Insurans konvensional telah difatwakan sebagai produk yang haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana polisi tersebut merupakan suatu muamalah yang rosak, kerana akadnya mengandungi gharar (ketidak-tentuan), unsur judi dan unsur riba. Maka seorang Muslim perlu memilih sistem Takaful yang berlandaskan kontrak syariah – Tabarru’, berasaskan prinsip saling membantu.

Kos Perubatan Yang Semakin Meningkat

Ketika setiap rakyat Malaysia memperoleh hak untuk mendapatkan bantuan perubatan di klinik dan hospital kerajaan,hasil permintaan yang tinggi dan faktor lain seperti kepuasan dalam perkhidmatan telah menyebabkan ramai yang lebih selesa mendapatkan rawatan swasta walaupun terpaksa menelan belanja yang besar.

Di sebalik kepuasan dan keselesaan mendapatkan rawatan di klinik dan hospital swasta, semua sedia maklum bahawa perkhidmatan tersebut memerlukan kos yang tinggi, dan kebanyakan masyarakat awam hanya mampu jika bergantung pada polisi Insurans atau Takaful.

ubat-ubatan

Menurut sebuah laporan tempatan, sebuah keluarga dijangka perlu membayar kos perubatan sehingga RM60,000 untuk perbelanjaan perubatan untuk seorang ibu yang berusia 87 tahun yang dimasukkan ke dalam hospital selama 35 hari yang mana ibu itu juga dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) selama seminggu , walaupun tanpa sebarang pembedahan (Sumber: Choking from high medical fees – The Star. 13-10-2013).

Hasil kemas kini terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta Tahun 1998 (Private Healthcare Facilities and Services Act 1998) telah menyebabkan kenaikan sehingga 200% terhadap kos konsultasi di hospital swasta. Kini satu perjumpaan atau konsultasi bersama pakar sahaja boleh mencecah RM80 sehingga RM235 manakala kos untuk satu pemeriksaan perubatan boleh mencecah sehingga RM50 hingga RM230 (Sumber: The Heat: Wrong Medicine for Health Insurance, 10-05-2014).

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Dari satu aspek lain pula, kos perubatan negara dijangka meningkat 10 peratus setiap tahun berikutan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) ekoran kurangnya kesedaran rakyat berhubung gaya hidup sihat.

Kos hidup yang semakin meningkat kini akan menyebabkan orang ramai terpaksa bergantung pada rawatan di hospital kerajaan, atau bergantung pada polisi takaful untuk membiaya kos rawatan.

Payung pelangi

Atas sebab ini, pakar perancang kewangan tidak pernah gagal memberi nasihat kepada mereka yang baru masuk ke alam pekerjaan atau yang baru mendapat cahaya mata, agar memilih polisi takaful yang sesuai demi masa depan mereka. Rokok, sofa empuk, kereta baru dan siaran Astro anda ternyata tidak akan dapat membantu melangsaikan bil hospital anda mahupun keluarga.

Pelaburan paling berharga, ialah pelaburan jangka masa panjang, terhadap diri sendiri dan keluarga. Kesimpulannya, benarlah bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Kredit foto: Deeevilish, AnnetteB, Lending Memo, Nuframe


Tags: , ,

Komen (5)

  1. Salam, kalau kita ambil polisi takaful, semua kos seperti kos konsultan (rm 85- rm200) pon boleh claim ye?

  2. Terima kasih atas perkongsian to blog owner. Saya adalah Unit Trust Consultant (UTC) – agen unit trust investment untuk Public Mutual & lokasi utama dalam tugas adalah kawasan Johor Bahru, Kuala Lumpur, Selangor & Penang.
    .
    Minimum permulaan RM1000 sahaja. Boleh melabur dari akaun KWSP (berdasarkan kelayakan). Cash investment pun boleh & ada pilihan untuk ambil pelan tambahan bulanan serendah RM100 per month sahaja. Dana Islamic 100% juga ada (Approved Syariah Compliance Funds). Pelaburan untuk jangka masa panjang sahaja above 5 years. Keuntungan sekitar min 9%-15% per year.
    .
    Bagi sesiapa yang berminat melabur dalam Unit Trust, boleh lah juga hubungi saya melalui mobile atau email. Jika hanya ingin mengemukakan soalan, anda juga dialu-alukan. Terima kasih.
    .
    Jas
    Unit Trust Consultant / Perunding Unit Amanah
    Co: Public Mutual Berhad (wholly-owned subsidiary of Public Bank Berhad)
    T: +6017-7055 381
    E: jas.elegant@gmail.com
    W: http://www.facebook.com/investment.unittrust
    .
    ” Why not try, let’s say 10 years investment period & gain minimum 9% profit per year? Reports on fund past performance available just to show the ability of the fund. Feel free to request for one ! “

  3. sangat bermanfaat, dan tertarik dengan tip ini, ia memang penting untuk mereka yang baru melakar kerjaya, tambahan pulak zaman sekarang ni, mugkin tidak mencukupi pendapatan yang diterima tu, tapi nak buat macam manakan, jika kita bijak melabur maka untunglah kita satu hari nanti sungguhpun kita perlu melalui keadaan yang sangat sukar, mudah kata, duit semakin sempit….

Leave a Reply to Ain Amanda Batal (Cancel)