Tuhan Sebagai ‘Rakan Niaga’ Perniagaan

January 04, 2013 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Antara elemen penting dalam perniagaan adalah rakan niaga.

Rakan niaga bakal mencorak perjalanan sebuah perniagaan. Bahkan Tuhan juga secara tidak langsung boleh menjadi rakan niaga.

Selain itu, siapakah rakan niaga lain yang dianggap penting dalam perniagaan?

Dalam artikel ini, penulis membahagikan senarai rakan niaga kepada tiga. Pembahagian ketiga menyentuh tentang Tuhan sebagai ‘rakan niaga’ dalam perniagaan.

Rakan Niaga 1: Diri Sendiri

Cara seorang usahawan mengurus diri sendiri boleh mempengaruhi perniagaan yang dijalankan.

Dengan merujuk kepada buku Master P.I.E.S oleh Fazrul Ismail, mengurus diri seorang usahawan dapat dijelaskan dalam empat aspek iaitu:

  • P (physical).
  • I (intelectual).
  • E (emotional).
  • S (spiritual).

Apabila aspek fizikal, intelektual, emosional dan spiritual seorang usahawan diadun dan diurus dengan baik, perniagaan yang dijalankan juga akan berada dalam keadaan baik.

Sebagai contoh,

Apabila seorang usahawan bijak mengurus kewangan (aspek P), berfikir panjang (aspek I), berakhlak mulia (aspek E) dan berniaga berlandaskan syariah (aspek S), nescaya dia akan dapat mengembangkan perniagaan dengan lancar.

Dalam contoh di atas, diri seorang usahawan menjadi rakan niaga yang penting dalam sebuah perniagaan.

Rakan Niaga 2: Manusia

tuhan-rakan-niaga-1

Mengenai bahagian ini, penulis tertarik kepada satu bab dalam buku Rahsia Menambat Hati Pelanggan, iaitu Bab 8:

“Siapa yang anda kenal seringkali melangkaui jaringan yang anda tahu”.

Dalam perniagaan, antara cara menjana keuntungan yang tinggi adalah menjenamakan diri sebagai seorang pakar. Kebiasaannya, cara ini memerlukan proses menuntut ilmu yang panjang. Namun Mohd Fathuallah telah berkongsi satu cara yang boleh memendekkan proses tersebut, iaitu berkenalan dengan para pakar dalam bidang yang ingin diceburi.

Beliau menceritakan bagaimana pada peringkat awal perniagaan, beliau telah memilih perkhidmatan sebagai penceramah kewangan. Namun kelulusan yang dimiliki, tidak melayakkan beliau digelar sebagai pakar.

Bagi mengatasi apa yang kurang, beliau mendapat idea untuk mencari individu yang berkelayakan dalam bidang kewangan. Selepas beberapa bulan mencari, akhirnya beliau mendapat rezeki bertemu dengan individu tersebut.

Dipendekkan cerita, akhirnya mereka bekerjasama menjalankan program yang dirancang. Mereka berdua berjaya apabila memanfaatkan sebaiknya sumber manusia sebagai rakan niaga.

Rakan Niaga 3: Tuhan Sekalian Alam

Sepertimana telah disebutkan, Tuhan juga secara tidak langsung boleh menjadi rakan niaga.

Rakan niaga yang paling penting bagi seorang usahawan Muslim adalah Tuhan sekalian alam, Allah. Cara mudah adalah dengan ‘membawa’ Tuhan dalam kehidupan.

Perniagaan merupakan sebahagian daripada kehidupan. Apabila Allah sentiasa ‘dibawa’ bersama, perniagaan yang dijalankan lebih terjamin kualitinya. Kualiti di sisi Allah dan manusia.

Sebagai contoh, encik Hamid membuka kedai gunting rambut. Dari gaya perwatakan, encik Hamid merupakan seorang yang ‘membawa’ Tuhan dalam kehidupan.

Dia sentiasa menjaga waktu sembahyang (kualiti di sisi Allah). Di samping itu, dia juga mementingkan hasil terbaik apabila menggunting rambut pelanggan (kualiti di sisi manusia).

Hasilnya, perniagaan encik Hamid menjadi mantap. Rahsianya, encik Hamid ‘menjadikan’ Tuhan sebagai rakan niaga dalam perniagaan.

Akhir Kata

Demikian sedikit perkongsian tentang rakan niaga dalam perniagaan. Sebarang input tambah amat dialu-alu demi kebaikan bersama.

Kredit: (PincasPhoto,j.o.h.n walker).


Tags: , ,

Komen (2)

Leave a Reply to nor hasimah ahamad yusob Batal (Cancel)